Islam Mengutamakan Lelaki Dari Wanita???



Persoalan: Islam mengutamakan lelaki berbanding wanita di dunia malah melebihkan mereka di akhirat. Mengapa perkara sebegini terjadi? Tidakkah ini menunjukkan Islam itu berat sebelah dan menzalimi wanita???


Jawapan: Sesungguhnya wanita solehah diberi nikmat sebagaimana lelaki soleh di akhirat berupa makanan, minuman dan sebagainya kecuali lelaki diberikan kelebihan memiliki beberapa isteri, manakala wanita hanya memiliki seorang suami (sepertimana terdapat di dalam hadis sohih) iaitu suaminya ketika di dunia, itupun jika suaminya tergolong dari ahli syurga, jika wanita tersebut tiada suami atau suaminya dari golongan ahli neraka, maka Allah ta'ala menganugerahkan lelaki lain dari golongan ahli syurga sekalipun wanita tersebut telah berkahwin di dunia lebih dari seorang lelaki selepas ditalak atau mati salah seorang dari mereka. Ini bertepatan dengan fitrah manusia yang telah Allah tetapkan ke atas hambanya sejak azali lagi.


    Sesungguhnya wanita mempunyai perasaan cemburu tetapi lebih sedikit berbanding lelaki di dalam syurga kelak dan nilai cemburu yang sedikit itu akan Allah ta'ala hapuskan dari hati wanita, mereka tidak akan merasa cemburu lagi malahan mereka menjadi permaisuri bagi bidadari-bidadari, dianugerahkan kejelitaan, suara yang merdu dan kelembutan lebih banyak berbanding bidadari-bidadari. Diriwayatkan bahawa bidadari-bidadari akan berkata kepada wanita-wanita solehah: "Kami kekal dan tidak akan mati, kami lemah-lembut dan kami tidak akan lemah, kami redho dan kami tidak akan marah, berbahagialah bagi sesiapa yang memiliki kami dan kami memilikinya". Kemudian wanita-wanita solehah menjawab kata- kata tersebut: "Kami solat dan kamu sebaliknya, kami puasa dan kamu sebaliknya, kami menjaga kitab Allah ta'ala dan kamu sebaliknya...".


     Sebagaimana kita sedia maklum, hal-ehwal wanita di dalam Islam berkenaan kewanitaan tidak diwar-warkan atau didedahkan di khalayak ramai sebagai contoh lelaki dikhitankan dan dianjurkan majlis baginya tetapi wanita dikhitankan dan tidak dianjurkan majlis baginya, begitu juga halnya mengenai nikmat-nikmat yang diberikan kepada wanita-wanita solehah di akhirat tidak didedahkan secara langsung bahkan disembunyikan kerana Allah ta'ala menggambarkan syurga di dalam al-Qur'an sepertimana firmannya:


 فيها ما تشتهيه الأنفس وتلذ الأعين
Maksudnya: Di dalam syurga itu pula disediakan segala yang diingini oleh nafsu serta dipandang indah oleh mata.
                                                                      Surah az-Zukhruf : 71


لهم فيها ما يشاءون
Maksudnya: Bagi mereka di dalam syurga apa-apa yang mereka inginkan.
                                                                      Surah an-Nahl : 31


Maka apa-apa yang diinginkan oleh wanita-wanita solehah di dalam syurga akan diberikan, kecuali mereka tidak akan sekali-kali meminta untuk memiliki lebih dari seorang suami kerana suami mereka menjadi setampan-tampan makhluk dan fitrah wanita tidak akan sekali-kali bertukar di akhirat kelak. 
والله أعلم


0 Responses