Khutbah Rosulullah Sollallahu 'Alaihi Wasallam Berkaitan Haji...

عن أبي هريرة رضي الله عنه قال: خطبنا رسول الله صلى الله عليه وسلم فقال

يا أيها الناس، إن الله فرض عليكم الحج فحجوا. فقال رجل: أكل عام يا رسول الله؟ فسكت حتى قالها ثلاثا، فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم: لو قلت: نعم لوجبت ولما استطعتم، ثم قال: ذروني ما تركتكم فإنما هلك ممن كان قبلكم بكثرة سؤالهم واختلافهم على أنبيائهم، فإذا أمرتكم بشيء فأتوا منه ما استطعتم، وإذا نهيتكم عن شيء فدعوه

Dari Abi Hurairah Rodiallahu 'anhu katanya: Rosulullah Sollallahu 'Alaihi Wasallam telah berkhutbah dengan sabdanya: 

Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Allah Ta'ala telah mewajibkan ke atas kamu haji maka laksanakanlah haji. Lalu bertanya seorang sahabat: Adakah setiap tahun ya Rosulullah? Rosulullah Sollallahu 'Alaihi Wasallam pun mendiamkan diri sehingga ditanya 3 kali, lalu Rosulullah Sollallahu 'Alaihi Wasallam menjawab: Jikalau aku katakan ya maka haji itu menjadi wajib(setiap tahun) sedangkan kamu semua tidak mampu. Kemudian Rosulullah Sollallahu 'Alaihi Wasallam berkata lagi: Tinggalkan apa yang aku tegah, sesungguhnya orang-orang sebelum kamu telah dimusnahkan lantaran terlalu banyak soalan dan perselisihan terhadap nabi-nabi mereka, apabila aku menyuruh kamu semua melaksanakan sesuatu maka lakukanlah seberapa daya yang mungkin, dan apabila aku menegah sesuatu maka tinggalkanlah ia.


عن أبي هريرة رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم

إذا خرج الخارج حاجا بنفقة طيبة، ووضع رجله في الغرز، ونادى لبيك اللهم لبيك، ناداه مناد من السماء لبيك وسعديك زادك حلال وراحلتك حلال وحجك مبرور غير مأزور، وإذا خرج بالنفقة الخبيثة فوضع رجله في الغرز، فنادى لبيك ،ناداه مناد من السماء لا لبيك ولا سعديك، زادك حرام ونفقتك حرام وحجك غير مبرور

Dari Abi Hurairah Rodiallahu 'anhu katanya: Rosulullah Sollallahu 'Alaihi Wasallam telah bersabda:


Bilamana seseorang keluar menunaikan haji berbekalkan dari sumber yang halal, tatkala menjejakkan kaki pada kenderaan untuk memulakan perjalanan, kemudian berdoa labbaik allahhumma labbaik, maka bergema suara dari langit, aku menyahut seruanmu dan berbahagialah, sesungguhnya bekalanmu dari sumber yang halal, kenderaanmu dari sumber yang halal dan hajimu mabrur tidak ditolak, bilamana seseorang keluar menunaikan haji berbekalkan dari sumber yang haram, tatkala menjejakkan kaki pada kenderaan untuk memulakan perjalanan, kemudian berdoa labbaik, maka bergema suara dari langit, aku tidak menyahut seruanmu dan berdukalah, sesungguhnya bekalanmu dari sumber yang haram, nafkahmu dari sumber yang haram dan hajimu tidak mabrur.

Islam Mengutamakan Lelaki Dari Wanita???



Persoalan: Islam mengutamakan lelaki berbanding wanita di dunia malah melebihkan mereka di akhirat. Mengapa perkara sebegini terjadi? Tidakkah ini menunjukkan Islam itu berat sebelah dan menzalimi wanita???


Jawapan: Sesungguhnya wanita solehah diberi nikmat sebagaimana lelaki soleh di akhirat berupa makanan, minuman dan sebagainya kecuali lelaki diberikan kelebihan memiliki beberapa isteri, manakala wanita hanya memiliki seorang suami (sepertimana terdapat di dalam hadis sohih) iaitu suaminya ketika di dunia, itupun jika suaminya tergolong dari ahli syurga, jika wanita tersebut tiada suami atau suaminya dari golongan ahli neraka, maka Allah ta'ala menganugerahkan lelaki lain dari golongan ahli syurga sekalipun wanita tersebut telah berkahwin di dunia lebih dari seorang lelaki selepas ditalak atau mati salah seorang dari mereka. Ini bertepatan dengan fitrah manusia yang telah Allah tetapkan ke atas hambanya sejak azali lagi.


    Sesungguhnya wanita mempunyai perasaan cemburu tetapi lebih sedikit berbanding lelaki di dalam syurga kelak dan nilai cemburu yang sedikit itu akan Allah ta'ala hapuskan dari hati wanita, mereka tidak akan merasa cemburu lagi malahan mereka menjadi permaisuri bagi bidadari-bidadari, dianugerahkan kejelitaan, suara yang merdu dan kelembutan lebih banyak berbanding bidadari-bidadari. Diriwayatkan bahawa bidadari-bidadari akan berkata kepada wanita-wanita solehah: "Kami kekal dan tidak akan mati, kami lemah-lembut dan kami tidak akan lemah, kami redho dan kami tidak akan marah, berbahagialah bagi sesiapa yang memiliki kami dan kami memilikinya". Kemudian wanita-wanita solehah menjawab kata- kata tersebut: "Kami solat dan kamu sebaliknya, kami puasa dan kamu sebaliknya, kami menjaga kitab Allah ta'ala dan kamu sebaliknya...".


     Sebagaimana kita sedia maklum, hal-ehwal wanita di dalam Islam berkenaan kewanitaan tidak diwar-warkan atau didedahkan di khalayak ramai sebagai contoh lelaki dikhitankan dan dianjurkan majlis baginya tetapi wanita dikhitankan dan tidak dianjurkan majlis baginya, begitu juga halnya mengenai nikmat-nikmat yang diberikan kepada wanita-wanita solehah di akhirat tidak didedahkan secara langsung bahkan disembunyikan kerana Allah ta'ala menggambarkan syurga di dalam al-Qur'an sepertimana firmannya:


 فيها ما تشتهيه الأنفس وتلذ الأعين
Maksudnya: Di dalam syurga itu pula disediakan segala yang diingini oleh nafsu serta dipandang indah oleh mata.
                                                                      Surah az-Zukhruf : 71


لهم فيها ما يشاءون
Maksudnya: Bagi mereka di dalam syurga apa-apa yang mereka inginkan.
                                                                      Surah an-Nahl : 31


Maka apa-apa yang diinginkan oleh wanita-wanita solehah di dalam syurga akan diberikan, kecuali mereka tidak akan sekali-kali meminta untuk memiliki lebih dari seorang suami kerana suami mereka menjadi setampan-tampan makhluk dan fitrah wanita tidak akan sekali-kali bertukar di akhirat kelak. 
والله أعلم


Sunnah Wudhu'

1) 

Disunnahkan bagi setiap muslim bersiwak(menggosok gigi) sebelum memulai wudhu'nya, kerana Rasulullah Sollallahu'alaihi wasallam bersabda : "Sekiranya aku tidak memberatkan umatku, niscaya aku perintah mereka bersiwak (menggosok gigi) setiap kali akan berwudhu'." 
[Riwayat Ahmad]


2)
Disunnahkan pula mencuci kedua telapak tangan tiga kali sebelum berwudhu', kecuali jika setelah bangun tidur, maka lebih utama mencucinya tiga kali sebelum berwudhu'. Sebab, boleh jadi kedua tangannya telah menyentuh kotoran di waktu tidurnya sedangkan ia tidak merasakannya. Rasulullah Sollallahu'alaihi wasallam bersabda: "Apabila seorang di antara kamu bangun tidur, maka hendaknya tidak mencelupkan kedua tangannya di dalam bejana(bekas) air sebelum mencucinya terlebih dahulu tiga kali, karena sesungguhnya dia tidak mengetahui di mana tangannya berada (ketika ia tidur)." 
[Riwayat Muslim]



3)
Disunnahkan menyedut air ketika memasukkan air ke dalam hidung.



4)
Disunnahkan bagi orang muslim menyelati janggut jika tebal ketika membasuh muka.



5)
Disunnahkan bagi orang muslim menyelati jari-jari tangan dan kaki di saat mencucinya, kerana Rasulullah Sollallahu'alaihi wasallam bersabda: "Selatilah jari- jemari kamu".     
[Riwayat Abu Daud]







6)
Mencuci anggota wudhu' yang kanan terlebih dahulu sebelum mencuci anggota wudhu' yang kiri. Mencuci tangan kanan terlebih dahulu kemudian tangan kiri, dan begitu pula mencuci kaki kanan sebelum mencuci kaki kiri.



7)
Mencuci anggota-anggota wudhu' dua atau tiga kali dan tidak digalakkan lebih dari itu. Namun kepala cukup disapu tidak lebih dari satu kali sapuan saja.



8)
Tidak berlebih-lebihan dalam pemakaian air, karena Rasulullah Sollallahu'alaihi wasallam berwudhu' dengan mencuci tiga kali, lalu bersabda : "Barangsiapa mencuci lebih (dari tiga kali) maka ia telah berbuat kesalahan dan kezaliman". 
[Riwayat Abu Daud]


Agama

Kitab Tauhid
Kitab        :  al-Aqidah al-Muyassaroh
Pengarang : Syeikh Dr. Mahmud Abu al-Huda Badr al-Husaini
                   Imam dan Khotib Jami' al-'Adiliah, Halab, Syria






الحمد لله الذي من علينا بالإيمان والإسلام ، وأخرجنا بهما من ظلمات الشرك والأوهام ، وأشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له شهادة أدخرها عند الختام ، وأشهد أن محمدا عبده ورسوله سيد الأنام ، وعلى آله وأصحابه البررة الكرام ، وعلى أشياخنا وأشياخهم إلى منتهى الإسلام .




Kitab ini adalah risalah ringkas dalam ilmu tauhid bagi memudahkan para pembaca. Para pembaca dianjurkan agar mempelajari ilmu ini dengan lebih mendalam melalui syeikh-syeikh yang terbukti keilmuan mereka di dalam bidang ini.


Agama : الدين


1) ad-Din ialah satu syari'at Ilahiyyah yang telah dipilih oleh Allah untuk beribadat kepadaNya dan untuk berinteraksi sesama manusia. Sesiapa yang mengikutinya dengan pilihannya secara rela maka dia adalah seorang muslim.


Atau ad-Din ialah satu syari'at robbaniyyah yang membawa kepada jalan kebaikan bagi setiap orang yang mempunyai akal yang waras. Sesiapa yang memilih dan mengikuti jalannya yang lurus akan berjaya di dunia dan akhirat.


2) Rukun ad-Din ada 3 perkara: iman, islam dan ihsan.


3) Islam ialah kepatuhan zahir anggota tubuh badan hamba kepada hukum-hakam Allah yang diturunkan ke atas Rasulullah.


4) Rukun Islam 5 perkara:
a) mengakui dengan lidah tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah
b) mendirikan solat
c) menunaikan zakat
d) berpuasa bulan ramadhan
e) mengerjakan haji bagi orang yang mampu


5) Iman ialah mempercayai dan meredhai dengan hati bahawa Allah itu sebagai Robb, Islam sebagai ad-Din, al-Qur'an itu sebagai pemimpin dan penghulu kita Nabi Muhammad sebagai Nabi dan Rasul.


6) Rukun Iman 6 perkara:
a) beriman kepada Allah
b) beriman kepada malaikat
c) beriman kepada kitab Allah
d) beriman kepada Rasul-rasul
e) beriman kepada hari kiamat
f) beriman kepada Qodho' dan Qodar


7) Ihsan ialah pengawasan diri seorang hamba terhadap Robbnya ataupun penyaksian hatinya terhadap Allah.


8) Dalil naqli tentang rukun Ihsan:
Hadis tentang Jibrail datang kepada Nabi agar menceritakan mengenai agama Islam sebagaimana yang terdapat dalam kitab sohih Imam Bukhori dan Imam Muslim.


Dalam hadis tersebut ada menyatakan:




الإحسان أن تعبد الله كأنك تراه ، فإن لم تكن تراه فإنه يراك
Maksudnya: Ihsan ialah sesungguhnya engkau mengabdikan diri (sembah) Allah seolah-olah engkau benar-benar melihatNya, seandainya engkau tidak mampu melihatNya maka sesungguhnya Dia (Allah) sebenarnya melihatmu.


9) Ilmu agama ada 3 bahagian:
a) Ilmu Tauhid yang membicarakan tentang Iman
b) Ilmu Feqh yang membicarakan tentang Islam
c) Ilmu Tasawwuf yang membicarakan tentang Ihsan


Ilmu-ilmu lain adalah berasaskan kepada ilmu-ilmu ini. Sebahagian Ulama' berpendapat ada 6 bahagian: Tafsir, Hadis, Tauhid, Usul Feqh, Feqh, Tasawwuf.