Kelahiran Rosulullah Sollallahu 'Alaihi Wasallam

      Rosulullah Sollallahu 'Alaihi Wasallam penghulu para rasul telah dilahirkan di Syuaib Bani Hashim di Makkah pada pagi hari Isnin 9 Robi'ulawwal permulaan Tahun Gajah, tahun ke-40 dalam pemerintahan Raja Kisro Anu Syirwan bersamaan 20@22 April 571 Masihi mengikut kiraan Ulama' Agong Muhammad Sulaiman al-Mansurpuri dan pentahqiq falaq Mahmud Basya.
     Ibn Sa'd meriwayatkan bahawa ibu Rosulullah Sollallahu 'Alaihi Wasallam menceritakan: "Ketika aku melahirkannya, satu cahaya telah keluar dari anggota sulitku menerangi mahligai-mahligai di negeri Syam". Riwayat tersebut hampir sama dengan apa yang diriwayatkan oleh al-Irbadh ibn Sariah. Beberapa petanda kebangkitan seorang rasul telah berlaku beberapa ketika sebelum kelahiran Rosulullah Sollallahu 'Alaihi Wasallam, di antaranya runtuhan 14 anjung Dewan Kisro Parsi, terpadamnya api yang disembah penganut agama Majusi, robohnya gereja-gereja di sekitar tasik sawah yang sebelum ini penuh sesak dengan para pengunjung. Ia diriwayat oleh al-Baihaqi tetapi tidak dipersetujui oleh Muhammad al-Ghazali.
     Sebaik sahaja Rosulullah Sollallahu 'Alaihi Wasallam dilahirkan, ibunya Aminah memberitahu kepada datuk Baginda, Abdul Mutolib mengenai perkhabaran yang baik itu, lantas Abdul Mutolib mengambil dan membawa Rosulullah Sollallahu 'Alaihi Wasallam ke dalam kaabah untuk berdoa dan bersyukur kepada Allah. Beliau telah memilih nama "Muhammad" sebagai nama kepada cucunya dimana nama tersebut tidak pernah digunakan oleh bangsa arab sebelum ini. Rosulullah Sollallahu 'Alaihi Wasallam telah berkhatan ketika berada di dalam kandungan ibunya lagi.
    Penyusuan Baginda yang pertama selepas ibunya ialah Thuwaibah hamba kepada Abu Lahab bersama anaknya Masruh, dengan itu Rosulullah Sollallahu 'Alaihi Wasallam menjadi saudara susuan dengan Masruh di mana sebelum ini Thuwaibah juga telah menyusukan Hamzah ibn Abdul Mutolib selepas Abu Salamah ibn Abdul Asad al-Makhzumi.